Ahad, 26 April 2015

Akhlak Pembentukan Ummah Dalam Hospitaliti Islam

Akhlak merupakan perkara penting yang ditekankan dalam Islam. Keperibadian atau sikap seseorang menggambarkan akhlak yang baik atau sebaliknya. Antara ciri nabi Muhammad SAW dilantik menjadi rasul adalah kerana baginda mempunyai keperibadian dan akhlak yang baik. Justeru, baginda sentiasa menunjukkan sifat-sifat yang baik kepada umatnya supaya boleh menjadi contoh dan ikutan. Dalam hospitaliti Islam, akhlak merupakan sebahagian elemen yang ditekankan oleh baginda Rasulullah SWT kerana ia melibatkan hubungan sesama manusia.

Perkataan hospitaliti dipinjam daripada bahasa inggeris iaitu ‘hospitality’ yang membawa maksud layanan baik terhadap tetamu atau layanan baik terhadap orang asing. Pengertian hospitaliti ini sebenarnya menekankan adab melayani tetamu berdasarkan akhlak tertentu. Berdasarkan akhlak dalam hospitaliti Islam, adab melayani tetamu perlu dilakukan dengan rasa gembira, peramah, mudah membantu dan ikhlas dari hati.

Pembentukan ummah melalui akhlak dalam hospitaliti Islam pula merupakan sesuatu perkara yang secara tidak langsung menjadi pemerhatian dan penilaian yang dibuat oleh tetamu. Ia meliputi dua pihak utama  iaitu pelayan dan tetamu. Kehadiran tetamu kebiasaannya kerana sebab-sebab tertentu seperti menziarah, mengunjung, melancong, musafir dan sebagainya. Pembentukan ummah ini akan terjadi apabila akhlak yang ditunjukkan oleh pelayan dapat menarik perhatian tetamu sekaligus mewujudkan perasaan persahabatan dan hubungan silaturrahim.  Melalui akhlak yang ditonjolkan kepada tetamu, mereka akan berasa kehadiran mereka diundang, selesa dan gembira. Dalam al-Qur’an merakamkan kisah tetamu Nabi Ibrahim (AS). Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan. Tatkala mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata “selamat sejahtera kepadamu!”. Ia menjawab “selamat sejahtera kepada kamu!”. (Sambil berkata kepada dirinya): mereka ini orang-orang yang tidak dikenali. Kemudian ia masuk kepada ahli rumahnya serta dibawa keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata “silalah makan”.

 (Surah al-Dhariyat 51:24)

Berdasarkan ayat al-Qur'an di atas telah menjelaskan tentang maksud hospitaliti Islam berkaitan akhlak yang baik. Antara contoh akhlak yang baik ialah memberi salam, menyambut tetamu dengan penuh hormat, mempersilakan duduk, serta menyediakan makanan yang istimewa. Kesemuanya ini dilakukan dengan kadar segera supaya tetamu tidak berasa kurang selesa. Apabila kedatangan tetamu disambut dengan baik, pembentukan ummah melalui sifat-sifat mahmudah yang ditonjolkan memberi impak kepada tetamu agar saling hormat-menghormati antara satu-sama lain. Justeru, akhlak yang baik dalam hospitaliti Islam amat penting supaya melalui perbuatan, percakapan dan tindakan dapat memudahkan urusan tetamu sekaligus mendapat keredhaan dari Allah SWT.

Pada zaman Rasulullah SAW, baginda sering melayani tetamu dengan menyediakan penginapan, makanan dan segala keperluan tetamu mengikut kemampuan yang ada. Walaupun pada zaman itu tidak ada kelengkapan yang cukup seperti menyediakan kipas angin, bantal, selimut, makanan yang beraneka lauk, namun baginda menerima kedatangan tetamu dengan berlapang dada serta memperlihatkan rasa kasih sayang, samada tetamu itu jauh atau dekat. Sifat kasih sayang tergambar dalam diri baginda apabila memberi makanan dan minuman, sentiasa memberi senyuman, menuturkan kata-kata yang sopan dan tidak ada tersurat nilai-nilai kasta. Kesemua sifat-sifat baginda di atas, terangkum dalam sebuah hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Dari Abu Hurairah (RA), bahawasanya Nabi SAW bersabda: "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah memuliakan tetamunya dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah mempereratkan hubungan kekeluargaannya dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah mengucapkan yang baik ataupun berdiam".

(Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

Memiliki akhlak yang baik seperti yang ditonjolkan oleh Rasulullah SAW adalah penting kerana sesungguhnya, Allah SWT tidak memandang kepada kedudukan, gelaran dan pangkat seseorang. Hal ini kerana, Allah SWT melihat kepada tiga perkara iaitu keikhlasan, niat dan ketakwaan seseorang hambanya dalam melayani tetamu. Dalam hospitaliti Islam, jika akhlak seseorang tidak baik iaitu memiliki sifat-sifat mazmumah maka pembentukan ummah tidak akan berlaku. Sifat-sifat mazmumah yang dimaksudkan ialah tingkah laku yang tidak sopan ketika berhadapan dengan tetamu. Apabila berhadapan dengan tetamu kelihatan muka tegang, kata-kata yang kurang sopan dan perasaan curiga. Jika perkara ini terjadi, maka tetamu yang hadir akan berasa sedih dan kecewa. Natijahnya akan menyebabkan, hospitaliti Islam akan dipandang buruk oleh tetamu yang terlibat secara amnya dan masyarakat umumnya.

Sebagai kesimpulanya, akhlak merupakan tunjang pembentukan ummah dalam hospitaliti Islam. Sifat-sifat yang baik melibatkan perbuatan dan percakapan perlu selari dengan keikhlasan hati. Melayani tetamu mengikut kemampuan merupakn sunnah Rasulullah SAW kerana apabila berlaku disebaliknya akan mengakibatkan bebanan dan kesusahan terhadap diri sendiri. Dalam aspek menerima kedatangan tetamu terbahagi kepada dua pihak iaitu tetamu yang dikenali (keluarga, sahabat, jiran dan masyarakat setempat) manakala tetamu yang tidak dikenali (pelancong, musafir, fakir-miskin dan lain-lain). Perbincangan kali ini adalah berbentuk umum yang mana diberi penekanan berkaitan akhlak yang baik dalam melayani tetamu mampu membentuk ummah yang baik. Justeru, akhlak yang baik perlu diterapkan dalam hospitaliti Islam supaya hubungan sesama manusia berada dalam keadaan harmoni disamping menjadi ibadah kepada Allah SWT.  







Ahad, 12 April 2015

Isu Aurat Pekerja Wanita Dalam Industri Perhotelan


Entri kali ini membincangkan berkaitan aurat pekerja wanita dalam industri perhotelan pada masa kini. Berdasarkan blog saudara Mazidul Akmal Sidek (Wartawan Media) yang bertajuk Hotel, Paha dan Tudung (klik di sini) ada memperkatakan berkaitan isu aurat pekerja wanita di kebanyakkan hotel yang terkemuka bertaraf tiga,empat dan lima bintang. Isu ini sebenarnya telah lama dibangkitkan oleh rata-rata pekerja wanita yang beragama Islam, namun pihak pengurusan hotel tetap tidak bertolak ansur atas alasan polisi hotel tidak membenarkan wanita muslimah bertudung. Persoalannya jika benar isu ini berkaitan polisi hotel, mengapakah wanita muslimah sanggup menerima pekerjaan tersebut dan mendedahkan aurat mereka kerana pekerjaan tersebut? Apakah implikasi terhadap diri wanita muslimah apabila mereka mendedahkan aurat?

Sebelum itu, perbincangan ini akan lebih menarik apabila kita memahami definisi aurat dan hotel. 
Aurat ialah bahagian tubuh badan manusia yang wajib ditutup dari pandangan manakala hotel pula merupakan satu institusi yang mempunyai struktur organisasi yang tersendiri. Mejoriti hotel akan menyediakan pakaian seragam yang khusus atau mengenakan syarat untuk pekerja-pekerjanya bergantung kepada bahagian-bahagian tertentu. 

Bagi menjawab persoalan pertama, antara faktor yang mendorong wanita muslimah menerima pekerjaan tersebut walaupun terpaksa mendedahkan aurat adalah disebabkan taraf hidup yang semakin meningkat, pengangguran, tawaran gaji yang tinggi serta kurang kesedaran tentang agama Islam.

Firman Allah SWT yang bermaksud:


"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaywajitaa menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya."
                                                                                                                            
(Surah an-Nur 24:31)  


Justeru, melalui ayat di atas dapat kita fahami bahawa Allah SWT memandang berat terhadap penjagaan aurat wanita daripada pandangan tiga golongan iaitu lelaki ajnabi, wanita bukan beragama Islam dan lelaki bukan beragama Islam. Oleh itu bagi menjawb persoalan ke dua pula, isu aurat bagi pekerja wanita muslimah dalam industri perhotelan khususnya akan terdedah dengan pelbagai manusia tidak kira budaya, agama dan bangsa. Implikasi dari aspek aurat ini terhadap wanita muslimah yang sanggup mendedahkan auratnya semata-mata untuk mencari sumber rezeki akan mengakibatkan tunjang agama yang dipegang menjadi goyah. Secara tidak langsung, ibadah pekejaan yang dilakukan tidak dikira sebagai ibadah. Menurut Muhammad Syukri Salleh (2008), ibadah terbahagi kepada tiga bentuk. Pertama ialah ibadah asas (merangkumi penegakan rukun Islam dan Iman); kedua, amalan utama seperti amalan-amalan sunat; dan ketiga, ibadah umum seperti berkhidmat untuk masyarakat, bekerja, menuntu ilmu, menghormati ibu-bapa dan sebagainya). Dalam entri kali ini, ibadah umum bagi wanita muslimah yang bekerja di hotel sepatutnya mendapat ganjaran pahala dan keredhaan dari Allah SWT  tetapi sebaliknya apabila mereka sanggup mendedahkan aurat walaupun tanpa kerelaan. 


Seterusnya, aurat juga memberi implikasi terhadap akidah wanita muslimah. Pegangan akidah yang lemah akan mendorong wanita muslim membuat pertimbangan akal yang tidak tepat. Hal ini sejajar dengan persetujuan wanita muslimah dalam melaksanakan tanggungjawab kerja sehingga mengabaikan tanggungjawab menutup aurat yang disarankan agama Islam. Apabila akidah yang menjadi teras kepada pembentukan sahsiah diri seseorang muslimah diabaikan maka timbul pula kesan yang tidak baik terhadap hati (spiritual). Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:


"Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, apabila Allah dan rasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan tentang urusan mereka. dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan rasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata".

(Surah al-Ahzaab 33:36)

Kesimpulannya, industri perhotelan sememangnya banyak membuka peluang-peluang pekerjaan dan terdapat bahagian-bahagian tertentu yang akan  disyaratkan supaya wanita muslimah perlu memakai pakaian sepertimana yang telah ditetapkan. Namun, wanita muslimah harus peka terhadap anjakan paradigma yang berlaku dalam industri perhotelan yang mana terdapat hotel-hotel bersifat Islami telah dibangunkan seperti TH Hotel dan De Palma. Aurat wanita muslimah secara umumnya tidak sepatutnya didedahkan bukan sahaja dalam pekerjaan berkaitan hotel bahkan semua pekerjaan yang meletakkan syarat supaya memakai pakaian (uniform) yang telah ditetapkan seperti pramugari, pembantu kedai (klik di sini)  dan  pembantu khidmat pelanggan (klik di sini).  Justeru, wanita muslimah disarankan untuk mengetahui implikasi yang akan berlaku terhadap diri kita terutama dalam aspek ibadah dan akidah.

Isnin, 6 April 2015

Kerjaya Dalam Sektor Perhotelan


Sumber

Industri perhotelan adalah berkait rapat dengan sektor pelancongan dan perdagangan kerana fungsinya adalah membekalkan tempat kediaman atau tempat persinggahan yang bersifat sementara kepada pengunjung-pengunjung. Pembangunan industri pelancongan yang begitu pesat dewasa ini memerlukan jumlah tenaga kerja yang besar bagi menyokong sektor-sektor perkhidmatan seperti perhotelan, restoran dan sebagainya. Kebelakangan ini, lambakan pekerja dalam industri hospitaliti berlaku. 

Ramaipekerja yang hendak bekerja dalam industri hospitaliti seperti perhotelan, restoran dan pelancongan. Ketiga-tiga industri tersebut adalah saling berkait rapat.Walaubagaimanapun, untuk bekerja dalam industri hotel pada hari ini memerlukan kelulusan yang setaraf dengan jawatan yang dipohon. Jumlah yang kecil bagi graduan lepasan hospitaliti seperti pengurusan hotel atau kulinari memberi masalah kepada industri hospitaliti untuk mewujudkan pekerja yang benar-benar berkualiti.

 Pengurusan sesebuah hotel yang baik adalah bergantung kepada kualiti perkerja sesebuah hotel tersebut. Maka, proses pengrekrutan dan penapisan perkerja perlu dilakukan sebelum mengambil seseorang berkerja. Kekurangan kemahiran dalam pengrekrutan menyebabkan matlamat untuk mendapatkan pekerja yang terbaik dalam industri hotel tidak tercapai. Dalam pengurusan sesebuah hotel kebiasaannnya akan menawarkan peluang pekerjaan dibahagian operasi. Bahagiaan ini merupakan nadi yang menentukan keuntungan, kelancaran operasi dan kepuasan pengguna.

Terdapat empat buah jabatan utama dalam bahagian operasi hotel iaitu jabatan pengemasan (housekeeping department),  jabatan dapur  (kitchen department) jabatan kauter hadapan (front office department) dan jabatan makanan dan minuman (food and beverage department). Antara skop tugas yang perlu dilakukan bagi bahagian operasi adalah seperti berikut: 

Jabatan Pengemasan (Housekeeping Department)

  • Membersihkan bilik air sehingga hilang kekotoran dan bau. 
  • Membuang sampah dan menggantikan plastik sampah yang baru. 
  • Menggantikan sarung cadar dengan sarung yang bersih. 
  • Menyusun atur kedudukan kerusi kepada kedudukan yang asal. 


 Jabatan Dapur (Kitchen Department)

  • Memastikan menu makanan yang dimasak sama seperti dalam jadual yang  dirancang. 
  • Menyediakan makanan yang bersih dan berkualiti.
  • Menghidangkan makanan mengikut masa yang telah ditetapkan. 
  • Memastikan bahan mentah yang diperolehi dari pembekal hotel.


Jabatan Kaunter Hadapan (Front Office Department)

  •  Membantu pelanggan dalam membuat pemilihan bilik yang sesuai. 
  • Menjelaskan kemudahan yang disediakan oleh pihak hotel.
  • Memastikan bilik sedia untuk dijual. 
  • Memastikan pelanggan check-in dan check-out tepat pada waktu yang   ditetapkan. 


Jabatan Makanan dan Minuman (Food and Beverage Department)

  • Menyambut tetamu yang hadir di restoran hotel dengan baik.
  • Memastikan makanan cukup dan disusun dengan rapi.
  • Mengemas meja apabila tetamu selesai makan.
  • Mengambil pesanan bagi tetamu yang ingin menu selain dari pakej yang ditawarkan. 



Sehubungan dengan itu, kerjaya dalam perhotelan amat luas terutama bagi graduan yang sedang mencari peluang pekerjaan. Industri hospitaliti dan pelancongan yang semakin berkembang dengan pesat kini memerlukan individu yang berkaliber dan berpotensi dalam melaksanakan sesuatu tugas yang diberikan. Justeru, kerjaya dalam perhotelan amat baik terutama untuk mendapat pengalaman dan membentuk jati diri dalam kemahiran-kemahiran tertentu bersesuaian dengan bidang kerja yang diminta.