Ahad, 26 April 2015

Akhlak Pembentukan Ummah Dalam Hospitaliti Islam

Akhlak merupakan perkara penting yang ditekankan dalam Islam. Keperibadian atau sikap seseorang menggambarkan akhlak yang baik atau sebaliknya. Antara ciri nabi Muhammad SAW dilantik menjadi rasul adalah kerana baginda mempunyai keperibadian dan akhlak yang baik. Justeru, baginda sentiasa menunjukkan sifat-sifat yang baik kepada umatnya supaya boleh menjadi contoh dan ikutan. Dalam hospitaliti Islam, akhlak merupakan sebahagian elemen yang ditekankan oleh baginda Rasulullah SWT kerana ia melibatkan hubungan sesama manusia.

Perkataan hospitaliti dipinjam daripada bahasa inggeris iaitu ‘hospitality’ yang membawa maksud layanan baik terhadap tetamu atau layanan baik terhadap orang asing. Pengertian hospitaliti ini sebenarnya menekankan adab melayani tetamu berdasarkan akhlak tertentu. Berdasarkan akhlak dalam hospitaliti Islam, adab melayani tetamu perlu dilakukan dengan rasa gembira, peramah, mudah membantu dan ikhlas dari hati.

Pembentukan ummah melalui akhlak dalam hospitaliti Islam pula merupakan sesuatu perkara yang secara tidak langsung menjadi pemerhatian dan penilaian yang dibuat oleh tetamu. Ia meliputi dua pihak utama  iaitu pelayan dan tetamu. Kehadiran tetamu kebiasaannya kerana sebab-sebab tertentu seperti menziarah, mengunjung, melancong, musafir dan sebagainya. Pembentukan ummah ini akan terjadi apabila akhlak yang ditunjukkan oleh pelayan dapat menarik perhatian tetamu sekaligus mewujudkan perasaan persahabatan dan hubungan silaturrahim.  Melalui akhlak yang ditonjolkan kepada tetamu, mereka akan berasa kehadiran mereka diundang, selesa dan gembira. Dalam al-Qur’an merakamkan kisah tetamu Nabi Ibrahim (AS). Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan. Tatkala mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata “selamat sejahtera kepadamu!”. Ia menjawab “selamat sejahtera kepada kamu!”. (Sambil berkata kepada dirinya): mereka ini orang-orang yang tidak dikenali. Kemudian ia masuk kepada ahli rumahnya serta dibawa keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata “silalah makan”.

 (Surah al-Dhariyat 51:24)

Berdasarkan ayat al-Qur'an di atas telah menjelaskan tentang maksud hospitaliti Islam berkaitan akhlak yang baik. Antara contoh akhlak yang baik ialah memberi salam, menyambut tetamu dengan penuh hormat, mempersilakan duduk, serta menyediakan makanan yang istimewa. Kesemuanya ini dilakukan dengan kadar segera supaya tetamu tidak berasa kurang selesa. Apabila kedatangan tetamu disambut dengan baik, pembentukan ummah melalui sifat-sifat mahmudah yang ditonjolkan memberi impak kepada tetamu agar saling hormat-menghormati antara satu-sama lain. Justeru, akhlak yang baik dalam hospitaliti Islam amat penting supaya melalui perbuatan, percakapan dan tindakan dapat memudahkan urusan tetamu sekaligus mendapat keredhaan dari Allah SWT.

Pada zaman Rasulullah SAW, baginda sering melayani tetamu dengan menyediakan penginapan, makanan dan segala keperluan tetamu mengikut kemampuan yang ada. Walaupun pada zaman itu tidak ada kelengkapan yang cukup seperti menyediakan kipas angin, bantal, selimut, makanan yang beraneka lauk, namun baginda menerima kedatangan tetamu dengan berlapang dada serta memperlihatkan rasa kasih sayang, samada tetamu itu jauh atau dekat. Sifat kasih sayang tergambar dalam diri baginda apabila memberi makanan dan minuman, sentiasa memberi senyuman, menuturkan kata-kata yang sopan dan tidak ada tersurat nilai-nilai kasta. Kesemua sifat-sifat baginda di atas, terangkum dalam sebuah hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Dari Abu Hurairah (RA), bahawasanya Nabi SAW bersabda: "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah memuliakan tetamunya dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah mempereratkan hubungan kekeluargaannya dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah mengucapkan yang baik ataupun berdiam".

(Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

Memiliki akhlak yang baik seperti yang ditonjolkan oleh Rasulullah SAW adalah penting kerana sesungguhnya, Allah SWT tidak memandang kepada kedudukan, gelaran dan pangkat seseorang. Hal ini kerana, Allah SWT melihat kepada tiga perkara iaitu keikhlasan, niat dan ketakwaan seseorang hambanya dalam melayani tetamu. Dalam hospitaliti Islam, jika akhlak seseorang tidak baik iaitu memiliki sifat-sifat mazmumah maka pembentukan ummah tidak akan berlaku. Sifat-sifat mazmumah yang dimaksudkan ialah tingkah laku yang tidak sopan ketika berhadapan dengan tetamu. Apabila berhadapan dengan tetamu kelihatan muka tegang, kata-kata yang kurang sopan dan perasaan curiga. Jika perkara ini terjadi, maka tetamu yang hadir akan berasa sedih dan kecewa. Natijahnya akan menyebabkan, hospitaliti Islam akan dipandang buruk oleh tetamu yang terlibat secara amnya dan masyarakat umumnya.

Sebagai kesimpulanya, akhlak merupakan tunjang pembentukan ummah dalam hospitaliti Islam. Sifat-sifat yang baik melibatkan perbuatan dan percakapan perlu selari dengan keikhlasan hati. Melayani tetamu mengikut kemampuan merupakn sunnah Rasulullah SAW kerana apabila berlaku disebaliknya akan mengakibatkan bebanan dan kesusahan terhadap diri sendiri. Dalam aspek menerima kedatangan tetamu terbahagi kepada dua pihak iaitu tetamu yang dikenali (keluarga, sahabat, jiran dan masyarakat setempat) manakala tetamu yang tidak dikenali (pelancong, musafir, fakir-miskin dan lain-lain). Perbincangan kali ini adalah berbentuk umum yang mana diberi penekanan berkaitan akhlak yang baik dalam melayani tetamu mampu membentuk ummah yang baik. Justeru, akhlak yang baik perlu diterapkan dalam hospitaliti Islam supaya hubungan sesama manusia berada dalam keadaan harmoni disamping menjadi ibadah kepada Allah SWT.  







Tiada ulasan:

Catat Ulasan