Ahad, 22 Mac 2015

Hotel Islami



 

Entri kali ini adalah berkisar mengenai industri perhotelan. Hotel berasal daripada perkataan Perancis yang berkembang pesat sejajar dengan pertumbuhan sektor pelancongan. Sektor perhotelan merupakan salah satu komponen penting industri pelancongan dan ianya menyediakan kemudahan penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman kepada pelancong. Kebanyakan hotel-hotel 4 dan 5 bintang yang beroperasi di pusat-pusat pelancongan utama negara kurang mengambil berat isu halal dan kemudahan yang perlu disediakan kepada pelanggan Muslim. Kebiasaanya hotel 4 dan 5 bintang menyediakan bar yang menyediakan makanan dan minuman beralkohol kepada pelanggan. Justeru, status operasi hotel sebegini akan menyebabkan sijil halal yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah was-was akan kehalalannya. Oleh itu, industri hotel di Malaysia perlu membuat perubahan bagi menyediakan kemudahan dan fasiliti yang mesra pelanggan Muslim. Pengikitirafan negara-negara luar terhadap Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang moderat memberi kelebihan kepada pengusaha-pengusaha hotel untuk mendirikan sebuah hotel yang berkonsepkan patuh syariah.

Kebanyakan hotel patuh syariah yang beroperasi di negara Timur Tengah mempunyai pelbagai versi dari segi amalan pengurusan dan perniagaan. Hotel yang tidak menyediakan minuman keras juga layak di kategorikan sebagai hotel patuh syariah walaupun tidak mematuhi peraturanperaturan lain yang digariskan oleh syarak. Ada juga yang berpendapat untuk melayakkan sesebuah hotel dikategorikan sebagai hotel patuh syariah perlu ada peraturan yang ketat dari segi pergaulan bebas di hotel. Di samping itu, hotel ini juga menyediakan restoran khusus tetamu perempuan sahaja dan begitu juga perkhidmatan-perkhidmatan lain yang menyediakan staf perempuan untuk melayan tetamu perempuan sahaja. Oleh kerana tiada piawaian yang ditetapkan oleh pihak industri ke atas hotel patuh syariah ini maka terdapat sedikit kecelaruan dari segi operasi dan pengurusan hotel tersebut.


Di Malaysia, terdapat beberapa hotel yang cuba menerapkan nilai-nilai Islam dalam menyediakan produk dan perkhidmatan yang disediakan kepada pelanggan Muslim. Sebagai contohnya, Kumpulan Hotel De Palma yang dimiliki oleh PKNS menyediakan pelbagai pelbagai perkhidmatan yang bercirikan mesra pelanggan Muslim. Perkhidmatan seperti pakej seminar hotel adalah bercirikan Islam dengan menyediakan buah kurma dan kismis semasa seminar, perkhidmatan imam dan tazkirah semasa tempoh penginapan tetamu di hotel tersebut. Hotel ini juga telah memamerkan tanda logo halal di laman sesawang dan menyatakan ianya adalah pelopor hotel patuh syariah dalam negara. Perubahan yang dilakukan oleh pengurusan kumpulan hotel De Palma dalam mengetengahkan konsep hotel patuh shariah patut dipuji dan diberi sokongan sepenuhnya. Sekurang-kurangnya, konsep hotel yang bercirikan Islam memberi alternatif penginapan kepada pelanggan Muslim yang kurang selesa untuk menginap di hotel-hotel mewah.

Sebagai kesimpulan, bagi memenuhi permintaan dan kehendak pasaran ini, industri pelancongan perlu mengetengahkan produk baru iaitu hotel patuh shariah yang akan memenuhi keperluan segmen pasaran ini. Konsep hotel patuh shariah perlu diperluaskan dan dimajukan dengan lebih agresif terutama dengan mempromosikannya ke peringkat antarabangsa mahupun tempatan..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan