Isnin, 30 Mac 2015

Status Makanan Halal di Hotel



Hotel merupakan tempat yang sering kali menjadi tumpuan ramai pengunjung yang datangnya daripada latar belakang berbeza.  Pengunjung yang singgah ke hotel bukan sekadar mahu menginap di hotel yang dipilih tetapi pada masa yang sama akan menikmati makanan yang disediakan oleh pihak hotel yang sememangnya berkelas tinggi.

Namun, dewasa ini kita melihat berlaku masalah dalam isu berkaitan status halal hotel sekaligus menimbulkan keraguan dikalangan pengunjung yang beragama Islam. Hal ini kerana, makanan merupakan nadi bagi orang mukmin dan ia secara langsung berkait rapat dengan ibadah yang dilakukan untuk mencapai redha yang Esa. 

Setiap orang mukmin diperintahkan Allah SWT untuk sentiasa menggunakan bahan-bahan yang halal dan berkualiti (mengandung gizi dan vitamin yang cukup). Kedua-dua aspek ini penting bagi memastikan kesihatan jasmani dan rohani yang terbentuk adalah hasil dari sumber yang halal dan diredhai oleh Allah SWT. Hal ini dengan jelas Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:

                                                             
http://www.moroccoworldnews.com/2014/08/136427/halal-food-to-reach-1-6-trillion-by-2018-report/

Penggunaan bahan yang haram meskipun secara lahiriyah berkualiti dan bergaya akan membentuk perilaku dan akhlak yang buruk baik bagi individu, keluarga serta masyarakat. Oleh itu, kita dilarang mengharamkan sesuatu yang telah dibolehkan dalam Islam. Sebaliknya, kita juga dilarang menghalalkan sesuatu yang sudah diharamkan, kerana penghalalan dan pengharaman merupakan hak Allah dan Rasul-Nya, tidak semua orang boleh menetapkannya. Allah SWT berfirman:

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah    halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai       orang-orang yang melampaui batas. Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang       Allah telah rezekikan kepadamu, dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman kepad Nya.”

                                                                                                        (Surah al-Maaidah :87-88)


Takrifan sebenar makanan halal bukan hanya terbatas kepada bahan asas yang digunakan dalam menghasilkan produk akhir semata-mata. Ia mengcakupi konsep yang lebih luas iaitu bermula daripada peringkat awal sehinggalah produk itu sedia untuk dimakan. Ia juga memberikan penekanan kepada aspek kebersihan dalam keseluruhan makanan tersebut merangkumi penyediaan, pemprosesan, pembungkusan, penyimpanan dan pengangkutan. Makanan tersebut mestilah diasingkan dengan mana-mana makanan yang tidak halal.



http://halalfocus.net/uk-worlds-largest-halal-food-festival-launches-in-london/

Bagi mengenalpasti status kehalalan yang diiktiraf untuk sesebuah hotel dan resort di Malaysia, pihak berkuasa seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menyenaraikan nama-nama hotel dan resort yang mendapat pengiiktirafan sijil halal khusus untuk pengendalian makanan dan minuman di bahagian dapur dan restoran. Melalui kaedah ini, pengguna dapat mengetahui tempoh sah sijil yang dikeluarkan oleh pihak JAKIM. Berikut merupakan laman sesawang Portal Rasmi Halal Malaysia yang menyenaraikan nama-nama hotel yang telah mendapat pengiktirafan halal http://www.halal.gov.my/v3/index.php/ms/senarai-hotel/241-carian-direktori-hotelNamun, terdapat tiga aspek utama yang wajar diberi perhatian oleh pihak berkuasa iaitu dari segi persepsi pengurusan makanan halal di hotel, penyediaan bahan dalam masakan dan sumber bekalan makanan yang diperolehi. Hal ini supaya, pihak hotel tidak memandang ringan akan prosedur yang melayakkan mereka mendapat sijil halal.

Dalam memelihara konsep halal, pihak hotel seharusnya menggunakan takrifan halal mengikut perintah perihal dagangan iaitu makanan atau apa jua yang melibatkan penyediaan makanan seperti berikut :

a. Bukan terdiri dari binatang yang diharamkan makan oleh umat islam atau yang tidak disembelih         mengikut hukum syarak.
b. Bukan najis mengikut syarak
c. Diproses dan alat yang suci dari najis mengikut syarak
d. Diproses berasingan dari mana-mana perkara di atas.
e. Tidak terkandung bahan-bahan yang terlarang seperti alkohol dan arak.


Dalam satu riwayat disampaikan Ibn Mardawaihi daripada Ibn Abbas bahawa seorang sahabat Rasulullah, Saad Ibn Abu Waqqas memohon Baginda memohon kepada Allah supaya apa sahaja doa disampaikannya kepada Allah SWT, supaya dikabulkan. Rasulullah bersabda yang maksudnya: 

“Wahai Saad! Perbaikilah makanan engkau, nescaya engkau akan dijadikan Allah seorang yang makbul doanya. Demi Tuhan, yang jiwa Muhammad ada dalam tangannya, sesungguhnya seorang lelaki yang melemparkan suatu suapan yang haram ke dalam perutnya, tidaklah akan diterima amalnya selama empat puluh hari. Barang siapa di antara hamba Allah yang tumbuh dagingnya dari harta yang haram dan riba, maka api lebih baik baginya.”

Sejajar dengan riwayat di atas, ia menunjukkan bagaimana Islam sangat menitikberatkan umatnya agar menjauhi makanan haram dan makanan daripada sumber haram. Hadis ini menerangkan bahawa doa dan amal kita ada kaitan dengan sumber makanan yang masuk ke dalam sistem badan kita. Sekiranya makanan itu haram, maka amalnya tidak diterima selama empat puluh hari.

Kesimpulannya, status makanan halal ini sebenarnya adalah satu perkara yang amat penting kerana ia melibatkan proses awal penyediaan makanan kepada pelanggan. Sekiranya proses yang digunakan bercampur baur dengan perkara haram ia secara tidak langsung akan memberikan kesan buruk kepada makanan tersebut. Hal akan menjejaskan banyak perkara rohaniah seseorang muslim termasuk sifat dan amalannya. Justeru, pihak pengurusan hotel perlu telus dalam mengendalikan makanan dan minuman supaya sumber yang diperolehi bertepatan dengan hukum syarak. 

Ahad, 22 Mac 2015

Hotel Islami



 

Entri kali ini adalah berkisar mengenai industri perhotelan. Hotel berasal daripada perkataan Perancis yang berkembang pesat sejajar dengan pertumbuhan sektor pelancongan. Sektor perhotelan merupakan salah satu komponen penting industri pelancongan dan ianya menyediakan kemudahan penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman kepada pelancong. Kebanyakan hotel-hotel 4 dan 5 bintang yang beroperasi di pusat-pusat pelancongan utama negara kurang mengambil berat isu halal dan kemudahan yang perlu disediakan kepada pelanggan Muslim. Kebiasaanya hotel 4 dan 5 bintang menyediakan bar yang menyediakan makanan dan minuman beralkohol kepada pelanggan. Justeru, status operasi hotel sebegini akan menyebabkan sijil halal yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah was-was akan kehalalannya. Oleh itu, industri hotel di Malaysia perlu membuat perubahan bagi menyediakan kemudahan dan fasiliti yang mesra pelanggan Muslim. Pengikitirafan negara-negara luar terhadap Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang moderat memberi kelebihan kepada pengusaha-pengusaha hotel untuk mendirikan sebuah hotel yang berkonsepkan patuh syariah.

Kebanyakan hotel patuh syariah yang beroperasi di negara Timur Tengah mempunyai pelbagai versi dari segi amalan pengurusan dan perniagaan. Hotel yang tidak menyediakan minuman keras juga layak di kategorikan sebagai hotel patuh syariah walaupun tidak mematuhi peraturanperaturan lain yang digariskan oleh syarak. Ada juga yang berpendapat untuk melayakkan sesebuah hotel dikategorikan sebagai hotel patuh syariah perlu ada peraturan yang ketat dari segi pergaulan bebas di hotel. Di samping itu, hotel ini juga menyediakan restoran khusus tetamu perempuan sahaja dan begitu juga perkhidmatan-perkhidmatan lain yang menyediakan staf perempuan untuk melayan tetamu perempuan sahaja. Oleh kerana tiada piawaian yang ditetapkan oleh pihak industri ke atas hotel patuh syariah ini maka terdapat sedikit kecelaruan dari segi operasi dan pengurusan hotel tersebut.


Di Malaysia, terdapat beberapa hotel yang cuba menerapkan nilai-nilai Islam dalam menyediakan produk dan perkhidmatan yang disediakan kepada pelanggan Muslim. Sebagai contohnya, Kumpulan Hotel De Palma yang dimiliki oleh PKNS menyediakan pelbagai pelbagai perkhidmatan yang bercirikan mesra pelanggan Muslim. Perkhidmatan seperti pakej seminar hotel adalah bercirikan Islam dengan menyediakan buah kurma dan kismis semasa seminar, perkhidmatan imam dan tazkirah semasa tempoh penginapan tetamu di hotel tersebut. Hotel ini juga telah memamerkan tanda logo halal di laman sesawang dan menyatakan ianya adalah pelopor hotel patuh syariah dalam negara. Perubahan yang dilakukan oleh pengurusan kumpulan hotel De Palma dalam mengetengahkan konsep hotel patuh shariah patut dipuji dan diberi sokongan sepenuhnya. Sekurang-kurangnya, konsep hotel yang bercirikan Islam memberi alternatif penginapan kepada pelanggan Muslim yang kurang selesa untuk menginap di hotel-hotel mewah.

Sebagai kesimpulan, bagi memenuhi permintaan dan kehendak pasaran ini, industri pelancongan perlu mengetengahkan produk baru iaitu hotel patuh shariah yang akan memenuhi keperluan segmen pasaran ini. Konsep hotel patuh shariah perlu diperluaskan dan dimajukan dengan lebih agresif terutama dengan mempromosikannya ke peringkat antarabangsa mahupun tempatan..

Ahad, 15 Mac 2015

Keperluan Musafir Dalam Industri Hospitaliti Islam




 

Umat Islam diperkenalkan industri hospitaliti pada hal hospitaliti Islam telah diajarkan oleh baginda Rasul s.a.w. Namun begitu kita lebih menerima industri hospitaliti dari Barat. Mahu tak mahu umat Islam terpaksa akur dengan perkembangan ini.

Bagi memenuhi keperluan musafir yang datang melancong dari dalam dan  luar negara maka industri hospitaliti Islam diwujudkan dengan membina hotel atau motel yang berkonsepkan syariah seperti menyediakan bilik mandi yang tertutup, ruang sukan yang tertutup, bilik-bilik tidur yang disediakan peralatan untuk mengerjakan solat dan sebagainya. Kesemua ini memerlukan modal. Maka mereka sebagai tetamu dikenakan bayaran yang berpatutan untuk menginap.

Industri hospitaliti Islam amat berbeza dari insustri hospitaliti Barat yang lebih menekankan kepada keuntungan kebendaan semata-mata tanpa mengambil perhatian kepada peraturan syariat seperti menutup aurat, tidak ada unsur judi dan arak, tidak ada unsur yang melekakan seperti muzik dan nyanyian. 

Penekanan industri hospitaliti Islam adalah untuk memenuhi keperluan musafir yang dianggap sebagai pelancong yang memerlukan tempat untuk tidur dan beristirehat. Oleh itu, aspek keselesaan amat penting yang merangkumi keluasan bilik tidur, ruang solat, sejadah, makanan halal, serta rancangan televisyen yang bersesuaian.

Kepentingan hospitaliti Islam dalam memenuhi keperluan musafir adalah sebagai  alternatif kepada umat Islam untuk berkunjung ke pusat-pusat pelancongan dengan tidak berasa was-was akan kemudahan yang disediakan seperti cara lazim yang sedia ada. Para musafir yang datang akan dilayan dengan baik berdasarkan kepada syariah Islam. Melalui pendekatan toleransi dah tatatertib yang baik akan menarik musafir yang bukan beragama Islam tertarik dengan cara Islam.


Isnin, 9 Mac 2015

Musafir Muslim





Terdapat beberapa ayat Al-Quran yang menyentuh tentang musafir atau pengembaraan. Antaranya ialah firman Allah dalam Surah Al-An'am (6: 11) yang terjemahannya: Katakanlah (Muhammad), "Jelajahilah bumi, kemudian perhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan itu''.

Ayat lain, firman Allah dalam surah  Surah Al-Mulk, (67: 15) yang bermaksud: “Dialah yang memjadikan bumi untuk kamu yang mudah dijelajahi, maka jelajahilah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian daripada rezekiNya. Dan hanya kepadaNyalah kamu (kembali setelah) dibangkitkan”.

Melalui firman Allah SWT di atas, orang-orang Islam memang digalakkan untuk pergi bermusafir atau mengembara dalam rangka untuk menambahkan keimanan kepada Allah SWT. Dalam bermusafir, nikmat pancaindera pendengaran dan penglihatan serta hati harus peka dan digunakan untuk memperakui kekuasaan dan kebesaran Allah. Betapa Allah Maha Berkuasa mengazab orang-orang yang mendustai ayat dan petunjuk Allah. Merasai pengalaman berada di tempat-tempat tertentu umpamanya melihat tinggalan sejarah Firaun di Mesir pasti tidak sama dengan sekadar mengetahui melalui pembacaan.

Semasa bermusafir, niat kita harus semata-mata untuk mendapatkan  keredhaan Allah SWT. Manusia bermusafir atas berbagai-bagai sebab antaranya melakukan amal ibadat haji atau umrah, menuntut  ilmu, mencari rezeki, berjihad atau untuk menziarahi keluarga atau sahabat. Musafir tidak seharusnya dicemarkan dengan perkara-perkara maksiat dan haram samada sebagai tujuan atau pun aktiviti semasa bermusafir.

Oleh itu, dengan berbagai-bagai manfaat dan keringananyang boleh diperolehi melalui pengembaraan atau bermusafir, mudah-mudahan kita berkeinginan untuk mencari peluang bermusafir dengan menghayati keindahan ciptaan Allah SWT di alam semesta ini. Bak kata pepatah, “jauh perjalanan luas pemandangan”. Kita juga akan merasa bersyukur akan kebesaran Allah SWT sekaligus menyedari akan kedudukan kita sebagai hamba Allah, aamin...Ya Rabb