Isnin, 16 November 2015

PENGURUSAN INSAN DALAM SEKTOR PERHOTELAN SECARA ISLAM


Deskripsi Tentang Pengurusan Insan

Pengurusan insan amat penting dalam sesebuah organisasi kerana ia merupakan penentu bagi kemajuan sesebuah organisasi. Dalam sektor perhotelan, pengurusan insan berkait rapat dengan empat perkara asas iaitu tanggungjawab, etika, adab dan akhlak. Hal ini kerana, sektor perhotelan menawarkan produk secara perkhidmatan kepada pengunjung yang mana aspek pengurusan insan dalam sesebuah hotel akan mengambarkan imej organisasi yang cuba ditonjolkan bergantung kepada konsep sesebuah hotel. Konsep hotel di Malaysia terbahagi kepada dua bentuk. Pertama konsep hotel konvensional dan kedua konsep hotel patuh syariah. Antara elemen utama yang membezakan kedua-dua konsep hotel ini adalah elemen pengurusan insan.

Bagi konsep hotel konvensional, pengurusan yang diguna pakai adalah pengurusan lazim. Pengurusan lazim lebih menekankan material, keuntungan, potensi dan imej sesebuah hotel tanpa mengambil kira aspek spiritual. Matlamat utama dalam pengurusan lazim adalah untuk mendapatkan keuntungan. Justeru, pelbagai strategi akan dirancang, disusun, diatur dan dilaksanakan bagi mencapai matlamat tersebut selari dengan definisi pengurusan yang dikeluarkan oleh Fadhilah Mansor (2006). Menurut beliau, pengurusan ditakrifkan sebagai proses untuk mendapatkan modal atau menggemblengkan segala input di dalam sesebuah organisasi dengan cara paling optimum untuk mencapai objektif organisasi.

Dari perspektif pengurusan Islam, pengurusan yang diatur dalam organisasi harus mengikut syariat Islam. Meskipun dari segi operasional, pengurusan Islam dilihat seolah-olah hampir sama dengan konvensional, namun pada hakikatnya ia berbeza, khususnya dari segi falsafah pengurusan. Falsafah ini juga yang merupakan asas kepada sistem pengurusan Islam yang bersumberkakan kepada al-Qur’an dan hadis. Falsafah inilah yang kemudiannya membawa kepada matlamat dan pelaksanaan pengurusan insan yang lebih holistik dan bukannya terlalu mementingkan kepada keuntungan dengan menidakkan aspek nilai, moral dan kesucian.

Justeru, pengurusan insan dalam sektor perhotelan secara tidak langsung mempamerkan corak pengurusan yang diguna pakai sama ada pengurusan konvensional ataupun pengurusan Islam. Antara kriteria pengurusan insan dalam konsep hotel konvensional dan konsep hotel patuh syariah adalah menutup aurat. Lazimnya bagi konsep hotel konvensional, kakitangan yang bekerja dalam organisasi hotel tidak digalakkan menutup aurat kerana setiap kakitangan hotel perlu mematuhi kod pakaian yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan tidak kira kakitangan tersebut Muslim atau sebaliknya. Hal ini kerana, polisi hotel bagi kod pemakaian di peringkat antarabangsa telah diseragamkan. Oleh yang demikian, konsep hotel patuh syariah, membuat anjakan paradigma dengan membentuk acuan pengurusan daripada akar umbi Islam yang sebenar.

Pengurusan Insan Dari Perspektif Islam

Konsep hotel konvensional boleh diubah kepada konsep hotel patuh syariah apabila pihak pengurusan hotel menghayati ajaran Islam yang sebenar, iaitu bersumberkan al-Quran dan hadis serta kembali mencontohi keupayaan dan kegemilangan kepimpinan Islam terdahulu, khususnya Rasulullah SAW dan para khalifah. Ajaran Islam telah diterjemahkan di dalam pengurusan yang cemerlang dan gemilang sehingga begitu dikagumi dan berkemampuan mengurus dua pertiga daripada muka bumi ini. Kesannya lahirlah tamadun yang gemilang di era itu seperti tamadun-tamadun awal Islam di Madinah, Bani Umaiyyah di Damsyik dan Andalus serta Bani Abassiyah di Baghdad. Bagaimanapun setelah kejatuhan kerajaan Bani Uthmaniyah, penjajahan telah membelenggu umat Islam dan melenyapkan kegemilanagan tersebut. Sektor ekonomi, politik, sosial dan pendidikan yang menjadi teras umat Islam telah diatur dan dicatur sepenuhnya oleh penjajah termasuklah minda dan pemikiran yang telah dijajah tanpa disedari termasuk juga dalam penggubalan polisi sektor perhotelan secara konvensional. Natijahnya, kakitangan Muslim yang bekerja dalam sektor perhotelan perlu memakai pakaian yang membuka aurat, menghidangkan minuman keras, melayanani pengunjung tidak kira lelaki atau perempuan, membiarkan pengunjung membuat maksiat secara terbuka, menghidangkan makanan yang tidak halal dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, polisi bagi konsep hotel konvensional dalam pengurusan insan khususnya dari sudut kerohanian kurang ditekankan kerana kualiti dalam perkhidmatan diberi keutamaan. Sesungguhnya Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan demi sesungguhnya Kami telah huraikan dengan berbagai-bagai cara di dalam Al-Quran ini untuk umat manusia, dari segala jenis contoh bandingan; dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya.”
                                                                                                    (Surah al-Kahfi 18:54)

Pengurusan insan secara Islam khususnya bagi konsep hotel patuh syariah perlu memastikan budaya kerja seperti konsep hotel konvensional ini tidak berlaku. Etika kerja yang disulami dengan keperibadian yang tinggi, berakhlak mulia dan mempunyai adab yang sopan akan mencerminkan diri seseorang pekerja hotel yang unggul sekali gus menjamin kualiti perkhidmatan berkualiti.

Ibadah Asas Dalam Pengurusan Insan

Kerangka pengurusan insan dalam sektor perhotelan menurut Islam bukan hanya berpaksikan kepada kemahiran fizikal, bakat dan ilmu pengetahuan semata-mata malah ianya melibatkan elemen kerohanian yang tidak mampu dilihat oleh pancaindera pihak pengurusan. Elemen kerohanian hanya boleh diukur melalui aspek ibadah. Ibadah terbahagi kepada tiga bahagian. Pertama, ibadah asas. Kedua ibadah khusus dan ketiga ibadah umum. Ibadah asas adalah perkara-perkara wajib yang perlu dilakukan oleh semua orang Islam termasuk pada waktu bekerja iaitu solat dan puasa. Ibadah asas ini adalah rukun iman dan rukun Islam yang menjadi pegangan kepada semua orang Islam. Selain itu, ibadah khusus adalah perkara-perkara sunat yang amat dituntut untuk dilakukan seperti berzikir, berselawat dan bersedekah manakala ibadah umum pula adalah perkara-perkara yang perlu dikakukan bagi memenuhi keperluan hidup seperti belajar, bekerja, berniaga dan sebagainya. Ketiga-tiga bahagian ibadah ini merupakan rangkuman daripada fardhu ain dan fardhu kifayah bagi semua orang Islam dalam menjalani kehidupan di dunia ini.

Dalam konteks pengurusan insan, ketiga-tiga bahagian ibadah ini perlu di ambil kira bagi memastikan pekerjaan yang dilakukan khususnya kakitangan Muslim bukan sekadar untuk memenuhi objektif dan matlamat organisasi hotel malah matlamat utama dalam Islam adalah beroleh kerdhaan dari Allah SWT (mardhatillah). Sesunguhnya Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya Tuhanmulah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan Ia juga yang menyempitkannya (menurut yang demikian). Sesungguhnya Ia Maha Mendalam pengetahuanNya, lagi Maha Melihat akan hamba-hambaNya”
                                                                                                     (Surah al-Israa’ 17:30)

Oleh itu, pengurusan insan dalam sektor perhotelan secara Islam perlu mengambil kira dua perkara penting yang menjadi tonggak kejayaan sesebuah organisasi iaitu hal keduniaan dan alam akhirat. Walaupun sesebuah hotel itu telah mendapat nama, imej yang baik, keuntungan yang tinggi serta dikenali dalam pasaran dunia, namun pihak organisasi hotel harus sedar bahawa disebalik keuntungan yang diperoleh kesemua rezeki dan kejayaan tersebut adalah datang daripada Allah SWT.

Selain itu, berdasarkan ketiga-tiga elemen ibadah tersebut, boleh dihubungkan dengan tiga perkara utama iaitu hubungan manusia dengan Allah SWT (hablumminallah), hubungan manusia dengan manusia (hablumminannas) dan hubungan manusia dengan sumber alam (hablumminnas). Dalam konsep hotel patuh syariah, hubungan manusia dengan Allah SWT tidak ditinggalkan apabila pihak organisasi hotel menyediakan kemudahan lengkap seperti surau untuk kakitangan dan pengunjung Muslim menunaikan solat. Bukan itu sahaja, malah kelengkapan solat seperti sejadah, telekung dan ruang mengambik wudhuk juga disediakan. Justeru, tidak ada sebarang alasan kakitangan Muslim tidak menunaikan ibadah solat ketika waktu bekerja.

Seterusnya, hubungan manusia dengan manusia. Ia berkait rapat di antara hubungan pekerja dengan pekerja dan hubungan pekerja dengan pengunjung hotel. Hubungan pekerja dengan pekerja atau pihak atasan merupakan sesuatu perkara penting dalam organisasi hotel. Pihak pengurusan perlu memastikan medium penyampaian maklumat diterima oleh semua kakitangan hotel sama ada melalui komunikasi secara terus atau mengggunakan alat komunikasi seperti emel, telefon, dan pesanan ringkas. Hal ini kerana, pengurusan insan dalam sektor perhotelan tidak akan berlaku secara efisen jika medium penyampaian maklumat tidak diterima dengan baik. Melalui penyampaian maklumat yang berkesan terutama pihak atasan dalam memberikan arahan kepada kakitangan bawahan akan mendorong perlaksanaan kerja tersebut dilakukan dengan penuh berhemah, bertanggungjawab dan lancar. Selain itu, kerjasama dalam kumpulan juga akan mudah terbentuk dengan mencapai kata sepakat membuat sesuatu tugasan seperti di bahagian kulineri, di bahagian penyediaan makanan dan minuman serta di bahagian kaunter hadapan. Dalam sektor perhotelan, selain dari perkhidmatan kemudahan yang lengkap, perkhidmatan dalam memberi layanan yang baik kepada pengunjung yang menginap di hotel juga akan diberikan oleh kakitangan hotel secara tidak langsung.  Hal ini penting bagi memastikan pengunjung berasa gembira dan selesa dengan perkhidmatan layanan yang diberikan. Oleh hal yang demikian, hubungan pekerja dengan pengunjung secara tidak langsung akan mendorong pekerja tersebut menjadi seorang yang ramah, bertolak ansur, penyabar dan berbudi bahasa.

Bagi hubungan manusia dengan alam sekitar pula, ia melibatkan dari sumber alam semula jadi dan sumber alam secara fizikal. Sumber alam semula jadi dalam sektor perhotelan adalah sumber atau persekitaran yang menjadi faktor utama pengunjung memilih sesebuah hotel seperti terletak di tepi pantai, pemandangan gunung-ganang dan sebaginya. Kesemua sumber alam semula jadi ini adalah ciptaan dari Allah SWT dan manusia terutama pengurusan dan kakitangan hotel perlu mamastikan sumber alam ini terpelihara dan terjaga daripada kejahatan manusia sendiri. Selain itu, sumber alam secara fizikal dalam sektor perhotelan adalah berkait rapat dengan fasiliti, alatan, reka bentuk bangunan hiasan dalaman dan lain-lain yang dicipta oleh manusia untuk memenuhi keperluan dan kehendak organisasi hotel. Hubungan manusia dengan alam sekitar adalah saling berkait dalam pengurusan insan. Hal ini kerana, dalam pengurusan insan secara Islam, setiap fungsi sumber alam perlu diketahui dan difahami terlebih dahulu sebelum mengendalikan sumber alam tersebut. Sebagai contoh, dalam penyediaan makanan dan minuman, Islam amat menitik beratkan kebersihan dan kehalalan sumber makanan tersebut. Bagi memastikan makanan dan minuman yang disediakan itu halal dan selamat untuk di makan, pemprosesan, alatan yang diguna pakai dan bahan-bahan masakan perlu mengikut garis panduan mengikut hukum syarak. Minuman beralkohol seperti arak sama sekali tidak dibenarkan dihidang atau dicampurkan dalam makanan terutama untuk dihidangkan kepada pengunjung Muslim. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk….”
                                                                                         (Surah al-A’raf 7:157)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya, elemen kerohanian dan elemen material perlulah bersepadu dalam pengurusan insan berdasarkan syariat yang ditetapkan oleh Allah SWT. Ibadah merupakan tunjang utama kerana manusia mestilah sentiasa hidup dengan beribadah kepada Allah SWT disamping melakukan pekerjaan untuk memenuhi keperluan hidup sebagai mana firman Allah SWT yang bermaksud
     “Tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepada-Ku”.
                                                                                         (Surah adz-Dzaariyaat 51:56)

Dengan menjadikan ibadah sebagai alat panduan dapat melaksanakan peranannya mengikut ketetapan,Allah SWT iaitu menjadi hamba dan khalifah-Nya.

Bibliografi

Fadillah Mansor (2006). Kualiti Kerja dalam Organisasi: Tinjauan dari Perspektif Pengurusan Islam dalam Ab. Mumin Ab. Ghani & Fadillah Mansor (eds.), Dimensi Pengurusan Islam, Mengurus Kerja dan Mengurus Modal Insan. Kuala Lumpur: Universiti Malaya, hlm 45.
Mohd. Shukri Hanapi (2012). Tasawur pembangunan dalam al-Qur’an: Kajian
Tafsir    Mawdu’iy. Tesis Doktor Falsafah yang diserahkan kepada   Pusat Kajian    Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia, Tidak Diterbitkan.
Haron Din (1992).  Tasawwur Islam. Selangor: HIZBI, Shah Alam.