Ahad, 12 April 2015

Isu Aurat Pekerja Wanita Dalam Industri Perhotelan


Entri kali ini membincangkan berkaitan aurat pekerja wanita dalam industri perhotelan pada masa kini. Berdasarkan blog saudara Mazidul Akmal Sidek (Wartawan Media) yang bertajuk Hotel, Paha dan Tudung (klik di sini) ada memperkatakan berkaitan isu aurat pekerja wanita di kebanyakkan hotel yang terkemuka bertaraf tiga,empat dan lima bintang. Isu ini sebenarnya telah lama dibangkitkan oleh rata-rata pekerja wanita yang beragama Islam, namun pihak pengurusan hotel tetap tidak bertolak ansur atas alasan polisi hotel tidak membenarkan wanita muslimah bertudung. Persoalannya jika benar isu ini berkaitan polisi hotel, mengapakah wanita muslimah sanggup menerima pekerjaan tersebut dan mendedahkan aurat mereka kerana pekerjaan tersebut? Apakah implikasi terhadap diri wanita muslimah apabila mereka mendedahkan aurat?

Sebelum itu, perbincangan ini akan lebih menarik apabila kita memahami definisi aurat dan hotel. 
Aurat ialah bahagian tubuh badan manusia yang wajib ditutup dari pandangan manakala hotel pula merupakan satu institusi yang mempunyai struktur organisasi yang tersendiri. Mejoriti hotel akan menyediakan pakaian seragam yang khusus atau mengenakan syarat untuk pekerja-pekerjanya bergantung kepada bahagian-bahagian tertentu. 

Bagi menjawab persoalan pertama, antara faktor yang mendorong wanita muslimah menerima pekerjaan tersebut walaupun terpaksa mendedahkan aurat adalah disebabkan taraf hidup yang semakin meningkat, pengangguran, tawaran gaji yang tinggi serta kurang kesedaran tentang agama Islam.

Firman Allah SWT yang bermaksud:


"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaywajitaa menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya."
                                                                                                                            
(Surah an-Nur 24:31)  


Justeru, melalui ayat di atas dapat kita fahami bahawa Allah SWT memandang berat terhadap penjagaan aurat wanita daripada pandangan tiga golongan iaitu lelaki ajnabi, wanita bukan beragama Islam dan lelaki bukan beragama Islam. Oleh itu bagi menjawb persoalan ke dua pula, isu aurat bagi pekerja wanita muslimah dalam industri perhotelan khususnya akan terdedah dengan pelbagai manusia tidak kira budaya, agama dan bangsa. Implikasi dari aspek aurat ini terhadap wanita muslimah yang sanggup mendedahkan auratnya semata-mata untuk mencari sumber rezeki akan mengakibatkan tunjang agama yang dipegang menjadi goyah. Secara tidak langsung, ibadah pekejaan yang dilakukan tidak dikira sebagai ibadah. Menurut Muhammad Syukri Salleh (2008), ibadah terbahagi kepada tiga bentuk. Pertama ialah ibadah asas (merangkumi penegakan rukun Islam dan Iman); kedua, amalan utama seperti amalan-amalan sunat; dan ketiga, ibadah umum seperti berkhidmat untuk masyarakat, bekerja, menuntu ilmu, menghormati ibu-bapa dan sebagainya). Dalam entri kali ini, ibadah umum bagi wanita muslimah yang bekerja di hotel sepatutnya mendapat ganjaran pahala dan keredhaan dari Allah SWT  tetapi sebaliknya apabila mereka sanggup mendedahkan aurat walaupun tanpa kerelaan. 


Seterusnya, aurat juga memberi implikasi terhadap akidah wanita muslimah. Pegangan akidah yang lemah akan mendorong wanita muslim membuat pertimbangan akal yang tidak tepat. Hal ini sejajar dengan persetujuan wanita muslimah dalam melaksanakan tanggungjawab kerja sehingga mengabaikan tanggungjawab menutup aurat yang disarankan agama Islam. Apabila akidah yang menjadi teras kepada pembentukan sahsiah diri seseorang muslimah diabaikan maka timbul pula kesan yang tidak baik terhadap hati (spiritual). Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:


"Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, apabila Allah dan rasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan tentang urusan mereka. dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan rasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata".

(Surah al-Ahzaab 33:36)

Kesimpulannya, industri perhotelan sememangnya banyak membuka peluang-peluang pekerjaan dan terdapat bahagian-bahagian tertentu yang akan  disyaratkan supaya wanita muslimah perlu memakai pakaian sepertimana yang telah ditetapkan. Namun, wanita muslimah harus peka terhadap anjakan paradigma yang berlaku dalam industri perhotelan yang mana terdapat hotel-hotel bersifat Islami telah dibangunkan seperti TH Hotel dan De Palma. Aurat wanita muslimah secara umumnya tidak sepatutnya didedahkan bukan sahaja dalam pekerjaan berkaitan hotel bahkan semua pekerjaan yang meletakkan syarat supaya memakai pakaian (uniform) yang telah ditetapkan seperti pramugari, pembantu kedai (klik di sini)  dan  pembantu khidmat pelanggan (klik di sini).  Justeru, wanita muslimah disarankan untuk mengetahui implikasi yang akan berlaku terhadap diri kita terutama dalam aspek ibadah dan akidah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan